Tuesday 28 August 2012

PENDIDIKAN PERCUMA


Sekitar April hingga ke hari ini hampir setiap hari isu pendidikan percuma diperkatakan daripada parlimen hingga ke kedai kopi. Pendidikan percuma mula diperdebatkan oleh masyarakat apabila seorang ketua Parti Pembangkang  menulis dalam portal berita tempatan untuk memberikan pendidikan percuma kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) dengan menghapuskan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Namun ia sebenarnya menjadi isu besar kepada negara sehingga pelajar IPT turut terbabit mengadakan perhimpunan jalanan bagi mendesak kerajaan menghapuskan PTPTN.

            Adakah dengan desakan-desakan ini akan berjaya memaksa kerajaan menghapuskan pinjaman PTPTN kepada pelajar IPT. Tentunya pihak kerajaaan akan berfikir panjang demi menjaga kebajikan semua rakyat khasnya golongan berpendapatan rendah. Maka dengan isu pendidikan percuma ini, pelbagai pihak seperti seperti pakar ekonomi, mantan Perdana Menteri, dan cendekiawan lain telah memberikan berbagai-bagai pandangan mengenai kesan penghapusan PTPTN demi untuk melaksanakan tuntutan pendidikan percuma di peringkat IPT.  

Menurut pakar ekonomi, cadangan penghapusan PTPTN kepada pelajar dan dengan menggunakan wang Petronas untuk menggantikannya akan melumpuhkan ekonomi dan menjejaskan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap negara. Ini kerana wang yang dikatakan akan digunakan untuk menyelasaikan pinjaman itu sepatutnya disalurkan kepada projek pembangunan yang boleh memberi manfaat kepada rakyat dan negara. Cadangan menggunkan wang Petronas membiayai pendidikan negara  bukan sahaja tidak praktikal malah akan meranapkan syarikat minyak negara. (Berita Harian, 2012)
Selain daripada itu, pendidikan percuma ini sememangnya akan menurunkan semangat daya saing dikalangan pelajar-pelajar IPT kerana mereka sudah tidak perlu untuk belajar bersungguh-sungguh untuk mendapatkan CGPA yang tinggi bagi membolehkan mereka menggantikan pinjaman kepada biasiswa. Kerana pada masa kini PTPTN menjanjikan kepada pelajar yang berjaya mendapat kelas 1 akan dikecualikan untuk membayar balik pinjaman. Bukan sahaja hilang daya persaingan dikalangan pelajar malah memberi keuntungan kepada golongan berada kerana jika pendidikan percuma dilaksanakan maka setiap rakyat Malaysia tidak kira bangsa, agama dan kedudukan adalah layak untuk menikmati pendidikan percuma ini. Tentunya tidak adil bagi mereka kerana ini akan membuka ruang yang lebih besar antara golongan pendapatan tinggi dan rendah. Ini adalah kerana PTPTN tidak memberi pinjaman kepada ibubapa yang mempunyai pendapatan tinggi yang dikira mampu untuk menanggung sendiri pengajian anak mereka.

Walaupun terdapat pihak mengatakan terdapat negara-negara yang telah memberikan pendidikan percuma kepada rakyatnya, kita perlu sedar negara-negara tersebut tentunya negara yang telah bergelar negara maju sedangkan negara kita adalah negara yang sedang membangun. Tentunya banyak perbezaan antara negara maju dengan negara sedang membangun dari segi ekonomi, prasarana dan sebagainya.

Seharusnya para pelajar IPT perlu belajar bersungguh untuk mendapatkan kelas pertama untuk mereka melepaskan diri daripada membayar hutang PTPTN. Bagi pihak PTPTN juga walaupun telah melaksanakan sistem ujrah dan menurunkan faedah daripada 4% kepada 1% namun sebaiknya tidaklah perlu untuk mengenakan caj pentadbiran dan pelajar perlu membayar balik pinjaman sebanyak yang mereka pinjam dari PTPTN. Dan kepada pelajar yang meminjam diharap dapat membayar balik pinjaman seperti yang telah disyorkan oleh pihak PTPTN bagi membolehkan pelajar-pelajar baru menikmati pinjaman ini untuk mereka meneruskan pengajian.

No comments:

Post a Comment