Tuesday 28 August 2012

IJAZAH PALSU

           Isu ijazah palsu menjadi berita hangat sekitar bulan julai 2012. Isu ini bermula apabila pihak pengurusan Universiti Sains Malaysia (USM) membuat laporan polis wujudnya laman web menjual ijazah keluaran USM dengan harga tertentu. Dengan laporan itu, pihak polis telah membuat siasatan dan menangkap 3 bekas pelajar universiti tersebut yang menjadi dalang sendikit ijazah palsu.
          Dengan laporan polis ini juga, pihak polis dapat mengesan banyak lagi pusat penjualan ijazah palsu yang membabitkan beberapa Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) antaranya Jakri Education Group di Subang Jaya yang menawarkan ijazah luar negara. IPTS tersebut telah menjual ijazah daripada university luar Negara seperti University of Rockhampton dan Harvey International University, Amerika Syarikat serta Cannington Brook University dan Glastonbury University, United Kingdom. Agak melucukan terdapat juga universiti yang luar negara itu ada yang tidak wujud iaitu Charles Molnar University yang didakwa terletak di Afrika Selatan. IPTS ini bukan sahaja menjual ijazah sarjana muda malah turut menjual diploma, ijazah sarjana dan ijazah kedoktoran  dengan harga tertentu mengikut level ijazah. (Utusan Malaysia, 2012)
            Apa yang menghairankan di sini adalah dimana hilangnya integriti bukan sahaja penjual ijazah palsu malahan pembeli kerana sudah tentu mereka sudah tahu ijazah tersebut palsu kerana tidak ada universiti atau kolej yang memberi peniktirafan kepada pelajar tanpa menghadiri kelas, membuat tugasan dan tutorial. Adakah falsafah pendidikan negara kita tidak berjaya membentuk integriti pelajar sedangkan dalam falsafah pendidikan telah jelas menekankan 5 aspek iaitu jasmani, emosi, rohani, intelek serta sosial. (Falsafah Pendidikan Malaysia, 2012). Apa yang dikesalkan di sini adalah pembeli-pembeli ijazah palsu ini adalah dari kalangan Datuk, Tan Sri dan ahli politik yang kita sedia maklumat mereka ini bukan dari kalangan  calang-calang orang. Seharusnya pemimpin perlu menunjukkan contoh teladan yang baik kepada anak buahnya. Nampaknya pemimpin sendiri menyokong penjualan dan pembelian ijazah palsu ini.
            Adakah masyarakat kini semakin tamak atau semakin bodoh hingga mudah ditipu dan suka ditipu. Jika penipuan ini didalangi oleh skim-skim lain seperti skim cepat kaya atau gores dan menang agak boleh diterima kerana mereka tentunya menggunakan janji-janji dan kata-kata manis dari si penipu sehingga mangsa boleh terpengaruh, tetapi dalam isu ini agak tidak boleh diterima kerana penipu hanya mengeluarkan iklan di laman web dan tentunya kita mempunyai masa yang panjang untuk  berfikir dan berbincang sebelum mengambil keputusan. Diharap kita dapat mengelakkan perkara seperti ini kerana cubalah kita fikirkan jika kita mendapat pekerjaan hasil dari ijazah palsu ini tentunya kita sendiri sudah menipu pihak majikan kita dan yang paling penting adalah hasil gaji yang kita terima sudah tentu tidak halal untuk dimakan dan diberi kepada anak isteri di rumah. Anak-anak yang makan hasil tidak halal inilah akan menjadi pewaris si penipu dan seterusnya sukar untuk guru-guru menerapkan nilai-nilai murni seperti yang terdapat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
         


            

No comments:

Post a Comment