Wednesday 29 August 2012

ISU PENDIDIKAN : PENDIDIKAN DISEBALIK TIRAI BESI






Tan Sri Alimuddin Mohd Dom
(Penulis ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad)

Tidak ramai yang tahu di sebalik bangunan yang dikawal rapi dengan dinding batu yang tinggi dan tebal serta disalut dengan kawat berduri terdapat sebuah sekolah di dalamnya. Sekolah ini dihuni oleh pelajar khas yang terdiri daripada banduan muda iaitu mereka yang dijatuhi hukuman oleh mahkamah kerana melakukan berbagai kesalahan jenayah. Hanya ada beberapa negara di dunia ini seperti negara kita yang menyediakan kemudahan pendidikan di dalam penjara. Laporan Khas dalam Utusan Malaysia pada 23 Januari lalu merupakan maklumat menarik yang lengkap dan dapat dikongsi bersama mengenai perkembangan salah satu cabang sekolah di negara kita. Kemudahan pendidikan ini menunjukkan betapa kerajaan sangat prihatin terhadap hak untuk mendapat pendidikan termasuk kepada kanak-kanak yang dijatuhi hukuman oleh mahkamah. Walaupun berada di sebalik balik tirai besi keperluan mendapatkan pendidikan secara formal dalam kalangan kanak-kanak itu tidak diabaikan. Sekolah dalam penjara ini dikenali sebagai Sekolah Integriti yang mula beroperasi sejak 2008. Seperti kanak-kanak lain mereka juga disediakan perkhidmatan guru terlatih dan berpengalaman serta dibekalkan peralatan pengajaran dan pembelajaran yang mencukupi.
            Hingga kini terdapat 1,650 pelajar yang terdiri daripada pesalah juvenil yang sedang mengikuti pelajaran di enam buah penjara. Sekolah Integriti ini beroperasi mengikut zon iaitu di Penjara Kajang, Penjara Kluang, Penjara Marang, Penjara Sungai Petani, Penjara Kuching dan Penjara Kota Kinabalu. Ini termasuk dua buah Sekolah Henry Gurney di Melaka dan Keningau, Sabah yang beroperasi sejak 1950. Pertambahan bilangan pelajar di sekolah ini agak tinggi di mana jumlahnya hanya 531 tahun 2008, 531 tahun 2009 dan meningkat kepada 1,104 pada 2010. Kerjasama Kementerian Pelajaran dan Jabatan Penjara bagi menyediakan kemudahan pendidikan kepada banduan muda ini seharusnya diberi pujian. Matlamat pendidikan di sekolah ini bukan setakat menyediakan keperluan asas literasi dan numerasi kepada kanak-kanak tersebut tetapi turut menyediakan keperluan masa depan mereka. Dengan kata lain pelajar-pelajar ini diberikan kemudahan mengikuti pelajaran akademik, kokurikulum dan vokasional yang bertujuan untuk melahirkan modal insan selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Di bidang akademik pelajar diberi peluang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Bagi melengkapkan diri aspek motivasi, pembinaan sahsiah dan kemahiran 'soft skill' turut diberikan.
            Diharapkan apabila meninggalkan institusi penjara nanti setidak-tidaknya mereka akan dapat menyesuaikan diri dengan mudah dalam persekitaran masyarakat. Di samping itu dapat berdikari dengan mencari pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan dan pengalaman yang telah diterima sepanjang berada di penjara. Agak menarik adalah pencapaian akademik yang menggalakkan di kalangan pelajar-pelajar sekolah berkenaan. Misalnya terdapat pelajar yang memperolehi 6A dalam peperiksaan PMR dan pelajar terbaik dalam SPM memperolehi 7A dan 1B. Peratus kelulusan adalah tinggi iaitu PMR 90.1 peratus dan SPM 95.24 peratus. Kejayaan dalam bidang akademik ini sudah tentu atas usaha keras pelajar dan sokongan kuat guru-guru di sekolah berkenaan. Ini membuktikan bahawa suasana pembelajaran di penjara bukanlah menjadi faktor penghalang kepada kejayaan. Beberapa tahun lepas penulis berpeluang melawat Sekolah Integriti di Penjara Kajang dan Penjara Kluang. Sebaik sampai ke sekolah tersebut jelas perasaan kagum dengan kelengkapan bilik darjah, makmal dan pusat sumber yang kelihatan sangat kemas dan lengkap. Kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang disediakan adalah dikira setanding dengan sekolah harian yang lain.
            Demikian juga guru-guru yang bertugas adalah merupakan guru terlatih dan berpengalaman. Mereka dipilih khusus untuk mengajar di sekolah berkenaan selepas melalui beberapa peringkat temuduga. Dalam perbualan, guru-guru tersebut menyatakan rasa bangga kerana berpeluang berkhidmat di sekolah berkenaan. Menurut mereka saat yang paling menyedihkan ialah ketika hampir cuti panjang persekolahan di mana pelajar-pelajar seolah-olah tidak mahu berpisah dengan guru. Pelajar sangat mesra dengan guru dan menganggap guru-guru sebagai pengganti ibu dan bapa. Pelajar sangat patuh dan sentiasa menghormati guru-guru malah sangat suka jika guru sering berleter atau memberi nasihat panjang kerana dikatakan sama seperti sikap ibu mereka semasa berada di rumah dahulu. Langkah Kementerian Pelajaran menempatkan 102 orang guru dan menyediakan kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang lengkap adalah suatu yang harus diberi pujian. Walaupun pelajar-pelajar pernah melakukan kesalahan jenayah tetapi hak mereka untuk mendapat pendidikan yang terbaik secara format tidak harus diabaikan. Moga-moga segala ilmu pengetahuan dan pengalaman yang diperolehi di sekolah tersebut akan dapat dimanfaatkan selepas meninggalkan bangunan penjara di suatu hari nanti.

SUMBER
30 Januari 2011

Tekanan Di Kalangan Guru


            Pendidikan memainkan peranan yang besar dalam pembangunan sesebuah negara. Mutu pendidikan yang baik secara langsung dan tidak langsung menyumbang kepada pembentukan generasi yang gemilang dan terbilang dalam sesebuah negara yang mampan, produktif dan sihat. Mutu pendidikan yang cemerlang banyak bergantung kepada produktiviti yang tinggi di kalangan ahli-ahli pendidik terutama sekali para guru memandangkan guru menyumbang sebahagian besar daripada pekerjaan di dalam bidang pendidikan
            Guru merupakan elemen terpenting dalam pedagogi untuk menghasilkan pendidikan yang berkualiti. Kualiti pengajaran guru pada hari ini atau masa-masa yang akan datang jika dibandingkan dengan hari-hari yang lepas adalah tidak sama atau sukar untuk dipiawaikan. . Ini menjadikan kerjaya guru kian mencabar. (AdminBlog Tips Kerjaya, 2011). Kepuasan kerja dan faktor-faktor yang boleh mengakibatkan tekanan boleh mempengaruhi kualiti pengajaran guru dan seterusnya mempengaruhi pula produktiviti, prestasi dan kecekapan guru. 
            Kebanyakkan guru melaporkan mereka mengalami tekanan dalam pekerjaan mereka dan mengalami ‘burnout’ pada peringkat terntu dalam pengalaman pekerjaan mereka.  Selain daripada itu, selain daripada mengalami masalah ‘burnout’ atau ketandusan upaya, mereka juga berpotensi menghidap penyakit barah payu dara, darah tinggi, sakit jantung dan ada juga yang sedang mendapatkan rawatan psikiatri daripada doktor. (Utusan Malaysia,2006) . 'Stress’' atau tekanan melibatkan penggunaan semua sistem yang ada dalam badan yang melampaui keupayaan. Individu berkenaan mendapati sukar menyesuaikan diri dengan keadaan dan memerlukan usaha yang lebih untuk mencapai keseimbangan dalam dirinya dan dengan alam sekitar.
            Namun begitu, tekanan melampau yang berlaku di kalangan guru adakalanya memakan diri sendiri. Seorang guru sekolah rendah terkejut mendapati anaknya yang berusia lima tahun tidak bernyawa selepas kanak-kanak itu ditinggalkan di dalam kereta selama beberapa jam. Gara-gara mengejar waktu untuk mengimbas kad perakam waktu di sekolah, dia telah terlupa bahawa anaknya masih lagi berada di dalam kenderaan. (Sinar Harian, 2012).   Kejadian itu telah membuka mata banyak pihak. Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menegaskan bahawa guru-guru di Malaysia ini bekerja dalam keadaan tekanan atau tekanan yang melampau lebih-lebih lagi apabila jemaah nazir dari Kementerian Pelajaran memantau guru-guru di sekolah. Dalam laporan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 28 Februari 1998, mencatatkan bahawa guru merupakan anggota perkhidmatan awam yang paling ramai menerima rawatan mental. Kenyataan ini bertepatan dengan pepatah Melayu yang menyatakan bahawa ‘guru ibarat lilin yang menerangi orang lain, tetapi membakar dirinya sendiri.
         Terdapat banyak contoh yang berkaitan dengan tindakan disiplin yang berdasarkan emosi yang dilakukan oleh para guru. Antaranya ialah kejadian di mana 200 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bawang Assan di Sarawak telah dihukum dengan cara berendam di dalam sebuah kolam kotor oleh Warden Asrama mereka disebabkan masalah disiplin. (Utusan Malaysia,2007). Pada  tahun 2006 pula, seorang guru disiplin di sebuah sekolah menengah di Kelantan telah bertindak memukul seorang pelajar berulang kali di kawasan sekolah kerana memakai seluar jeans pada hari terakhir peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) (Berita Harian, 2006). Sementara itu, pada tahun 2008, seorang pelajar Tingkatan Lima di Kuching, Sarawak telah ditumbuk dan ditampar oleh guru disiplin sekolahnya atas tuduhan mencuri wang dan  pendrive milik rakannya sendiri. Akibat perlakuan guru displin tersebut, pelajar terbabit mengalami trauma untuk ke sekolah kerana takut kejadian yang sama akan berulang kembali (Berita Harian, 2008) 
            Terdapat banyak faktor yang menyebabkan berlakunya tekanan di kalangan guru pada masa kini. Antara faktor tekanan   yang dapat dikesan ialah sistem kepimpinan dan komunikasi yang teruk, sistem autokratik dan gaya kepimpinan yang bersifat ‘buli’. Kuehn (1993) dalam kajiannya mendapati faktor-faktor penyebab tekanan dikalangan guru ialah kerana kurangnya masa untuk merubah pelajar yang bermasalah dan tidak dapat membuat keputusan yang berkaitan dengan mereka. Pada masa kini, di samping bertindak sebagai agen penyampai di dalam kelas, guru-guru juga ada yang bertindak sebagai Guru Disiplin di sekolah. Ini bermaksa mereka memikul bukan satu tanggungjawab di sekolah, tetapi dua atau malahan lebih lagi tugas yang dipertanggungjawabkan kepada mereka.  
            Jarnagin (1997) dalam kajiannya pula mendapati para guru sering menghadapi masalah dengan kertas kerja yang banyak, red tape, kecewa dengan ibu bapa dan masyarakat, mereka merasakan diri mereka tidak dihargai, faktor gaji yang rendah daan tertekan apabila dinilai ke atas perkara-perkara yang tidak dapat dikawal.
            Setiap masalah mesti ada jalan penyelesaiannya.. Demikianlah juga dengan isu ini.Pihak-pihak tertentu harus mengambil langkah untuk menyelesaikannya.  Sebagai langkah pertama, Kementerian Pelajaran Malaysia boleh mengambil beberapa langkah pencegahan seperti menganjurkan bengkel, seminar serta kursus-kursus berhubung dengan masalah tekanan yang berlaku di kalangan guru. Bak kata pepatah ‘mencegah lebih baik daripada mengubatinya’. Selain daripada itu, pihak pentadbir juga perlu memainkan peranan mereka. Mereka boleh memberi dorongan dan menunjukkan keyakinan kepada guru bahawa mereka mampu melakukannya walaupun sebelum ini guru tersebut tidak pernah mengajar subjek itu.  Selain daripada itu, pembelajaran yang seratus peratus berpusatkan kepada guru perlu dihindarkan. Guru perlu menggalakan  murid-murid menjalankan aktiviti  yang mana guru hanya bertindak sebagai pembimbing sahaja. Ini secara tidak langsung menyokong kepada Teori Pembelajaran Konstruktivisme.
            Kesimpulannya ialah, tekanan adalah sebahagian dan sentiasa melingkari kehidupan seharian manusia. Justeru setiap daripada kita menghadapi tekanan cuma yang membezakan adalah pada peringkat manakah tekanan memberi kesan dalam kehidupan Dengan ini, guru juga turut menghadapi tekanan dan adalah penting bagi guru yang menghadapi tekanan mengetahui kemahiran pengurusan tekanan. Ini supaya tekanan yang dihadapi tidak mendatangkan kesan buruk kepada guru sehingga menjejaskan imej mereka serta organisasi pendidikan itu sendiri. Diharapkan dengan tugas guru yang semakin mencabar kini, beberapa kajian lain tentang tekanan guru dapat dlakukan lagi dan kenal pasti tindakan yang boleh diambil agar matlamat pendidikan untuk menghasilkan guru dan murid yang cemerlang tercapai.

PETUA IMAM SYAFIE

Empat perkara menguatkan badan
1. makan daging
2. memakai haruman
3. kerap mandi
4. berpakaian dari kapas

Empat perkara melemahkan badan
1. banyak berkelamin (bersetubuh)
2. selalu cemas
3. banyak minum air ketika makan
4. banyak makan bahan yang masam

Empat perkara menajamkan mata
1. duduk mengadap kiblat
2. bercelak sebelum tidur
3. memandang yang hijau
4. berpakaian bersih

Empat perkara merosakan mata
1. memandang najis
2. melihat orang dibunuh
3. melihat kemaluan
4. membelakangi kiblat

Empat perkara menajamkan fikiran
1. tidak banyak berbual kosong
2. rajin bersugi (gosok gigi)
3. bercakap dengan orang soleh
4. bergaul dengan para ulama

4 CARA TIDUR

1. TIDUR PARA NABI
Tidur terlentang sambil berfikir tentang kejadian langit dan bumi.

2. TIDUR PARA ULAMA' & AHLI IBADAH
Miring ke sebelah kanan untuk memudahkan terjaga untuk solat malam.

3. TIDUR PARA RAJA YANG HALOBA
Miring ke sebelah kiri untuk mencernakan makanan yang banyak dimakan.

4. TIDUR SYAITAN
Menelungkup/tiarap seperti tidurnya ahli neraka.

doa.
zikir.
itulah kekuatan seorang muslim :)

ISU PENDIDIKAN : PATUT ATAU TIDAK PELAJAR DIROTAN??




"BAGI saya boleh … 'anytime' cikgu boleh merotan atas kesalahan yang difikirkan perlu, syarat merotan di bawah paras lutut dan kemudian harus dirotan di hadapan murid lain." Demikian pandangan seorang pembaca dalam ruangan 'facebook.com/utusan_online' yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia baru-baru ini. (Utusan Malaysia, 2012)
            Rotan pernah menjadi isu nasional tidak lama dahulu dan hingga sekarang masih belum ditemui jalan penyelesaiannya. Isu ini bangkit adalah ekoran dari kemerosotan disiplin dan keruntuhan moral para pelajar. Sebelum ini, iaitu pada zaman ayah, abang dan kakak kita belajar, merotan adalah dibenarkan. Guru-guru bebas melaksanakan tugas mendisiplinkan para pelajarnya dengan tenang tanpa terikat dengan mana-mana peraturan yang bermacam-macam.

        Manakala pada pandangan islam tentang perlaksanaan hukuman rotan atau sebat ini tujuannya adalah untuk memberi pengajaran atau ajar adab kepada kanak-kanak. Syarak juga memberi kebenaran kepada suami untuk menyebat isterinya yang nusyuz yang tidak insaf selepas diberi nasihat dan berpisah tempat tidur. Manakala di dalam sebuah hadis, Nabi s.a.w. bersabda (ertinya): Arahkanlah anak-anak kamu supaya mengerjakan sembahyang ketika berusia 7 tahun, dan pukullah ketika mereka berusia 10 tahun ( jika enggan sembahyang ), dan pisahkanlah tempat tidur di antara mereka. (HR Abu Daud ) .

        Ini menunjukkan bahawa memang ada hukuman pukul di dalam islam dan para amirul mukminin juga telah mengizinkan para guru melaksanakan hukuman pukul terhadap kanak- kanak ketika benar- benar perlu. Hukuman tersebut hendaklah berdasarkan mahu memberi pengajaran atau ajar adab, tidak kerana dorongan individu ( marah, benci dan sebagainya )



KELEBIHAN
1. Cara yang efektif untuk menanamkan sikap displin di dalam diri pelajar- pelajar, lebih-lebih lagi bagi pelajar yang degil dan melakukan kesalahan yang berulang- ulang kali. Sebagai contoh membuli, merokok mencuri dan sebagainya.

2. Langkah pencegahan “deterrent” yang efektif untuk pelajar lain. Hal ini kerana apabila pelajar itu dirotan sambil disaksikan pelajar lain mereka akan merenung dan dapat memunasabahkan diri mereka. Bak kata pepatah “pencegahan lebih baik dari rawatan.

3. Bertujuan memberikan pengajaran kepada pelajar yang degil. Ini kerana dengan menjalankan hukuman rotan, murid- murid akan berfikir dahulu sebelum melakukan sebarang kesalahan displin kerana risiko yang akan mereka tanggung amat berat. Selain daripada kesakitan, mereka juga akan mendapat aib didepan khalayak sekolah dan menconteng arang dimuka ibu bapa mereka. Ringkasnya, hukuman rotan juga akan mengajar murid- murid supaya lebih berdisplin dan bertindak dengan fikiran yang rasional supaya tindakan mereka itu tidak akan merugikan diri mereka sendiri.



KEBURUKAN
1. Ia akan menyebabkan murid- murid yang disebat atau dirotan berasa trauma dan fobia. Ini kerana sebelum mereka dirotan, mereka akan berasa takut. Keseimbangan emosi mereka akan tergugat dan mereka akan mengalami gangguan emosi yang dahsyat apabila mereka disebat. Mereka juga mungkin akan kehilangan keyakinan diri dan berasa malu dan segan untuk berinteraksi dengan rakan- rakan selepas mereka disebat di khalayak ramai.

2. Hukuman rotan boleh dianggap hukuman yang tidak berperikemanusiaan. Hal ini kerana rotan akan menyebabkan kecederaan fizikal kepada murid yang dirotan. Kecederaan yang dialami mereka adalah luka pada bahagian yg dirotan malah mungkin juga pada tulang belakang, jikalau hukuman itu tidak dijalankan dengan sempurna dan berhati- hati. Bukan itu sahaja, malah pelajar yang disebat akan dipinggirkan atau dipulaukan rakan-rakan mereka kerana takut jikalau diapa- apakan.

3. Hukuman yang mengaibkan pelajar tersebut dan tiada siapa yang ingin berkawan dengan mereka. Akibatnya mereka akan berhenti dan tercicir dari sekolah. Dengan ramainya kadar pelajar berhenti sekolah, maka meningkatlah kadar keciciran pelajar di sekolah.

        Berdasarkan perbincangan diatas jelaslah bahawa hukuman rotan mendatangkan kebaikan dan juga keburukan. Hukuman rotan wajar dilaksanakan sekiranya ia melibatkan kesalahan- kesalahan yang serius dan menuntut tindakan tegas daripada pihak sekolah. Namun begitu ia tidak harus dilakukan sewenang- wenangnya. Tujuan hukuman rotan adalah untuk memupuk displin bukan untuk mengaibkan pelajar apatah lagi sehingga menyebabkan keciciran pelajar. Hukuman rotan merupakan alternatif yang terakhir sekiranya semua usaha lain seperti kaunseling dan mendapatkan kerjasama ibu bapa menemui kegagalan. Sekiranya semua pihak bekerjasama insyaAllah masalah yang telah lama menjadi duri dalam daging ini akan dapat di selesaikan dengan saksama dan impian sekolah untuk melahirkan sekolah yang berprestasi tinggi.



Tuesday 28 August 2012

IJAZAH PALSU

           Isu ijazah palsu menjadi berita hangat sekitar bulan julai 2012. Isu ini bermula apabila pihak pengurusan Universiti Sains Malaysia (USM) membuat laporan polis wujudnya laman web menjual ijazah keluaran USM dengan harga tertentu. Dengan laporan itu, pihak polis telah membuat siasatan dan menangkap 3 bekas pelajar universiti tersebut yang menjadi dalang sendikit ijazah palsu.
          Dengan laporan polis ini juga, pihak polis dapat mengesan banyak lagi pusat penjualan ijazah palsu yang membabitkan beberapa Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) antaranya Jakri Education Group di Subang Jaya yang menawarkan ijazah luar negara. IPTS tersebut telah menjual ijazah daripada university luar Negara seperti University of Rockhampton dan Harvey International University, Amerika Syarikat serta Cannington Brook University dan Glastonbury University, United Kingdom. Agak melucukan terdapat juga universiti yang luar negara itu ada yang tidak wujud iaitu Charles Molnar University yang didakwa terletak di Afrika Selatan. IPTS ini bukan sahaja menjual ijazah sarjana muda malah turut menjual diploma, ijazah sarjana dan ijazah kedoktoran  dengan harga tertentu mengikut level ijazah. (Utusan Malaysia, 2012)
            Apa yang menghairankan di sini adalah dimana hilangnya integriti bukan sahaja penjual ijazah palsu malahan pembeli kerana sudah tentu mereka sudah tahu ijazah tersebut palsu kerana tidak ada universiti atau kolej yang memberi peniktirafan kepada pelajar tanpa menghadiri kelas, membuat tugasan dan tutorial. Adakah falsafah pendidikan negara kita tidak berjaya membentuk integriti pelajar sedangkan dalam falsafah pendidikan telah jelas menekankan 5 aspek iaitu jasmani, emosi, rohani, intelek serta sosial. (Falsafah Pendidikan Malaysia, 2012). Apa yang dikesalkan di sini adalah pembeli-pembeli ijazah palsu ini adalah dari kalangan Datuk, Tan Sri dan ahli politik yang kita sedia maklumat mereka ini bukan dari kalangan  calang-calang orang. Seharusnya pemimpin perlu menunjukkan contoh teladan yang baik kepada anak buahnya. Nampaknya pemimpin sendiri menyokong penjualan dan pembelian ijazah palsu ini.
            Adakah masyarakat kini semakin tamak atau semakin bodoh hingga mudah ditipu dan suka ditipu. Jika penipuan ini didalangi oleh skim-skim lain seperti skim cepat kaya atau gores dan menang agak boleh diterima kerana mereka tentunya menggunakan janji-janji dan kata-kata manis dari si penipu sehingga mangsa boleh terpengaruh, tetapi dalam isu ini agak tidak boleh diterima kerana penipu hanya mengeluarkan iklan di laman web dan tentunya kita mempunyai masa yang panjang untuk  berfikir dan berbincang sebelum mengambil keputusan. Diharap kita dapat mengelakkan perkara seperti ini kerana cubalah kita fikirkan jika kita mendapat pekerjaan hasil dari ijazah palsu ini tentunya kita sendiri sudah menipu pihak majikan kita dan yang paling penting adalah hasil gaji yang kita terima sudah tentu tidak halal untuk dimakan dan diberi kepada anak isteri di rumah. Anak-anak yang makan hasil tidak halal inilah akan menjadi pewaris si penipu dan seterusnya sukar untuk guru-guru menerapkan nilai-nilai murni seperti yang terdapat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
         


            

PENDIDIKAN PERCUMA


Sekitar April hingga ke hari ini hampir setiap hari isu pendidikan percuma diperkatakan daripada parlimen hingga ke kedai kopi. Pendidikan percuma mula diperdebatkan oleh masyarakat apabila seorang ketua Parti Pembangkang  menulis dalam portal berita tempatan untuk memberikan pendidikan percuma kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) dengan menghapuskan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Namun ia sebenarnya menjadi isu besar kepada negara sehingga pelajar IPT turut terbabit mengadakan perhimpunan jalanan bagi mendesak kerajaan menghapuskan PTPTN.

            Adakah dengan desakan-desakan ini akan berjaya memaksa kerajaan menghapuskan pinjaman PTPTN kepada pelajar IPT. Tentunya pihak kerajaaan akan berfikir panjang demi menjaga kebajikan semua rakyat khasnya golongan berpendapatan rendah. Maka dengan isu pendidikan percuma ini, pelbagai pihak seperti seperti pakar ekonomi, mantan Perdana Menteri, dan cendekiawan lain telah memberikan berbagai-bagai pandangan mengenai kesan penghapusan PTPTN demi untuk melaksanakan tuntutan pendidikan percuma di peringkat IPT.  

Menurut pakar ekonomi, cadangan penghapusan PTPTN kepada pelajar dan dengan menggunakan wang Petronas untuk menggantikannya akan melumpuhkan ekonomi dan menjejaskan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap negara. Ini kerana wang yang dikatakan akan digunakan untuk menyelasaikan pinjaman itu sepatutnya disalurkan kepada projek pembangunan yang boleh memberi manfaat kepada rakyat dan negara. Cadangan menggunkan wang Petronas membiayai pendidikan negara  bukan sahaja tidak praktikal malah akan meranapkan syarikat minyak negara. (Berita Harian, 2012)
Selain daripada itu, pendidikan percuma ini sememangnya akan menurunkan semangat daya saing dikalangan pelajar-pelajar IPT kerana mereka sudah tidak perlu untuk belajar bersungguh-sungguh untuk mendapatkan CGPA yang tinggi bagi membolehkan mereka menggantikan pinjaman kepada biasiswa. Kerana pada masa kini PTPTN menjanjikan kepada pelajar yang berjaya mendapat kelas 1 akan dikecualikan untuk membayar balik pinjaman. Bukan sahaja hilang daya persaingan dikalangan pelajar malah memberi keuntungan kepada golongan berada kerana jika pendidikan percuma dilaksanakan maka setiap rakyat Malaysia tidak kira bangsa, agama dan kedudukan adalah layak untuk menikmati pendidikan percuma ini. Tentunya tidak adil bagi mereka kerana ini akan membuka ruang yang lebih besar antara golongan pendapatan tinggi dan rendah. Ini adalah kerana PTPTN tidak memberi pinjaman kepada ibubapa yang mempunyai pendapatan tinggi yang dikira mampu untuk menanggung sendiri pengajian anak mereka.

Walaupun terdapat pihak mengatakan terdapat negara-negara yang telah memberikan pendidikan percuma kepada rakyatnya, kita perlu sedar negara-negara tersebut tentunya negara yang telah bergelar negara maju sedangkan negara kita adalah negara yang sedang membangun. Tentunya banyak perbezaan antara negara maju dengan negara sedang membangun dari segi ekonomi, prasarana dan sebagainya.

Seharusnya para pelajar IPT perlu belajar bersungguh untuk mendapatkan kelas pertama untuk mereka melepaskan diri daripada membayar hutang PTPTN. Bagi pihak PTPTN juga walaupun telah melaksanakan sistem ujrah dan menurunkan faedah daripada 4% kepada 1% namun sebaiknya tidaklah perlu untuk mengenakan caj pentadbiran dan pelajar perlu membayar balik pinjaman sebanyak yang mereka pinjam dari PTPTN. Dan kepada pelajar yang meminjam diharap dapat membayar balik pinjaman seperti yang telah disyorkan oleh pihak PTPTN bagi membolehkan pelajar-pelajar baru menikmati pinjaman ini untuk mereka meneruskan pengajian.

Thursday 16 August 2012

Guru Oh Guru..Usman Awang..1979

Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Ibarat bunga kembang tak jadi....

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetlaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di lbu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakill seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.





P/S : jasa guru tiada tandingannya.... hargailah guru anda... tanpa mereka siapalah kita... :)